Wednesday, January 12, 2011

PERODUA lancar model baru lebih bergaya, sporty


Syarikat yakin ulang rekod jualan tertinggi tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan melancarkan satu lagi model baru tahun ini yang menampilkan reka bentuk terkini, lebih bergaya dan sporty.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata menerusi model baru itu serta barisan model paling laris sedia ada, MyVi, Alza dan ViVa, pihaknya yakin akan sekali lagi merekodkan jualan tertinggi tahun ini.
Pengeluar kenderaan nasional kedua itu menyasarkan jualan 195,000 unit tahun ini, meningkat empat peratus daripada 188,600 unit yang dicatatkan tahun lalu.

“Model baru adalah sesuatu yang diperlukan syarikat automotif dalam mencatatkan pertumbuhan jualan. Bagi PERODUA, kami akan memperkenalkan satu model baru setiap dua tahun dan seperti yang dijanjikan, penggemar kereta kompak akan disajikan dengan pengenalan ahli baru dalam barisan keluarga PERODUA tidak lama lagi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi syarikat itu pada 2010 di Rawang, semalam.

Aminar Rashid enggan memberi butiran lanjut mengenai model baru itu, tetapi penganalisis yang dihubungi berkata, ia berkemungkinan besar membabitkan kereta sedan kompak dengan kapasiti enjin 1.5 liter.

“Model baru bakal dilancarkan PERODUA tahun ini berkemungkinan diasaskan daripada satu daripada model sedan kompak popular Daihatsu. Ini tentunya akan merancakkan lagi industri automotif tempatan tahun ini,” katanya.
Aminar Rashid berkata, dengan pengenalan model baru itu nanti serta persekitaran ekonomi yang bertambah baik, PERODUA yakin meningkatkan lagi penguasaan pasarannya tahun ini daripada 31.2 peratus sekarang.

Mengenai perbelanjaan modal PERODUA tahun ini, Aminar Rashid berkata, pengeluar kenderaan nasional kedua itu akan melabur RM614.2 juta.

Katanya, daripada peruntukan itu, sebahagian besar digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan pembinaan kemudahan pengeluaran transmisi automatik elektronik (EAT) baru, manakala selebihnya untuk penambahan cawangan rangkaian jualan dan servis.

Dalam pada itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA sebagai syarikat usaha sama Malaysia dan Jepun, akan terus menambah baik sistem kawalan mutunya.

Perodua kekal kedudukan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), berjaya mengekalkan kedudukannya untuk lima tahun berturut-turut di kalangan syarikat kereta di Malaysia selain mencatatkan peningkatan 13 peratus dan rekod jualan 188,600 unit tahun lalu berbanding 166,700 unit pada 2009.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh (gambar) berkata, dalam proses itu Perodua menguasai 31.2 peratus kepentingan pasaran kereta negara iaitu tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2008 dengan 30.5 peratus.


Katanya, Myvi masih mengekalkan kedudukan sebagai model jualan terlaris di negara ini dengan 77,700 unit dijual, manakala model Alza kenderaan pelbagai guna paling laris dengan jualan 42,000 unit sementara Viva mencatatkan jualan 69,000 unit.

“Peningkatan jualan tahun lalu didorong permintaan menggalakkan bagi kereta kompak mampu milik selain didorong sokongan padu semua pihak termasuk kerajaan.


“Malah, Perodua memecahkan dua rekod pada 2010 yang pertama menerusi jualan tahunan tertinggi pernah dicatatkan dan Disember lalu, Perodua juga mencapai pendaftaran jualan bulanan tertinggi sebanyak 19,400 unit, mengatasi rekod sebelum ini 18,500 pada Mac 2010,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi Perodua bagi tahun 2010 di Kuala Lumpur, semalam.