Syarikat jalankan kajian bagi raih manfaat daripada pelaksanaan Afta
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melihat Thailand sebagai pasaran eksport baru bagi keretanya di Asean selain Singapura dan Brunei.
Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata buat masa ini, pihaknya sedang menjalankan kajian untuk memasuki pasaran negara itu bagi mendapatkan manfaat daripada pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta). Beliau bagaimanapun menegaskan, memasuki pasaran Thailand bukan sesuatu yang mudah kerana banyak faktor yang perlu diambilkira seperti mencari rakan kongsi dan pengedar yang bersesuaian.
“Banyak perkara yang perlu diteliti terutama jika dilihat daripada situasi di Thailand ketika ini. Kami menjangkakan dapat membuat keputusan mengenainya sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pengeluaran kenderaan Perodua ke 1.7 juta unit sejak penubuhannya pada 1993 di Rawang, semalam.
Pelancaran kenderaan ke 1.7 juta itu, iaitu model Alza disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan dan ahli lembaga pengarah Perodua, Datuk Dr Abdul Halim Harun.
Aminar Rashid berkata, antara faktor yang diteliti syarikat itu dalam menentukan pasaran eksportnya yang baru ialah dasar automotif sesebuah negara itu, selain sama ada negara berkenaan mempunyai perjanjian perdagangan dengan Malaysia.
“Adalah lebih mudah memasuki pasaran di negara yang mempunyai standard dan peraturan yang sama dengan kita seperti dari segi aspek kawalan mutu dan syarat keselamatan,” katanya.
Buat masa ini, Perodua hanya mengeksport kira-kira dua peratus daripada kenderaan keluarannya.
“Saya kurang gembira dengan angka ini. Justeru, kami akan meningkatkan jumlah eksport secara berperingkat dengan sasaran meningkatkannya kepada lima peratus dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi dan meningkat kepada 10 peratus selepas lima tahun itu,” katanya.
Ketika ini, Perodua mengeksport kenderaannya ke tujuh negara iaitu United Kingdom yang juga pasaran eksport terbesarnya selain Singapura, Sri Lanka, Fiji, Mauritius, Brunei dan Nepal.
Dalam suku pertama tahun ini, pengeluar kenderaan nasional itu menjual 48,000 unit kenderaan, meningkat 24 peratus daripada 38,000 unit tempoh sama tahun lalu.
“Arah aliran positif ini membolehkan kami mencapai sasaran menjual 176,000 unit kenderaan tahun ini,” kata Aminar.
No comments:
Post a Comment