Perodua yakin pasaran Alza
2010/03/17
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluarannya, Alza akan terus mendapat permintaan termasuk bagi model versi termaju yang dilancarkan serentak dengan model Alza biasa pada April tahun lalu.
AMINAR...sambutan Alza menggalakkan
Beliau berkata, sambutan menggalakkan bagi Alza selain rangkaian model lain sedia ada seperti Myvi dan Viva dijangka terus mengukuhkan kedudukan Perodua sebagai peneraju pasaran kereta kompak tempatan berdasarkan tempahan model baru dan sedia ada yang terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Walaupun Alza model termaju lebih mahal kira-kira RM6,000 berbanding model biasa kerana dilengkapi ciri tambahan GPS di bahagian belakangnya, namun kami yakin potensi kenderaan itu.
“Bagi model Alza, kami sudah menerima lebih 23,000 tempahan sejak dilancarkan tahun lalu dan sudah menyerahkan kira-kira 10,000 unit kepada pembeli hingga bulan lalu.
“Malah, kami juga akan meningkatkan jumlah pengeluaran Alza hingga melebihi 5,000 unit bulan ini bertujuan mengurangkan masa menunggu pelanggan kepada dua bulan sekarang.
“Tempoh menunggu bagi Januari dan Februari adalah selama tiga bulan,” katanya, baru-baru ini.
Mengenai perkembangan model lain, beliau berkata, Perodua bakal memperkenalkan model Myvi yang diberi wajah baru (facelift) pada tahun ini dalam usaha mempelbagaikan variasi kereta popular itu di pasaran.
Katanya, pengenalan wajah baru Myvi itu dijangka dilaksanakan menjelang Jun ini.
“Myvi adalah satu fenomena bagi kami. Berdasarkan asas bulanan, kami menerima tempahan 8,000 hingga 9,000 unit sebulan dan akan terus menjual model itu sehingga tiba masa sesuai untuk menggantikannya.
“Model Myvi masih menerima maklum balas positif di pasaran dan setiap tahun, jumlah tempahannya terus meningkat. Tahun lalu, 91,000 Myvi dijual manakala bagi Viva pula, Perodua menjual purata 6,000 unit sebulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment