2010/03/11
Bukti komitmen kukuh syarikat manfaatkan 130 vendor, pembekal
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangkakan meningkatkan nilai pembelian komponen dan alat ganti tempatannya kepada RM3.8 bilion tahun ini daripada kira-kira RM3 bilion setahun sejak dua tahun lalu sejajar langkahnya meningkatkan pengeluaran kenderaannya.
Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata peningkatan penggunaan komponen dan alat ganti tempatan itu yang dijangkakan memberi manfaat kepada lebih 130 vendor dan pembekal tempatan, menggambarkan komitmen kukuh Perodua terhadap dasar menggunakan produk keluaran tempatan.
Beliau berkata, peningkatan pembelian komponen tempatan itu adalah untuk model Myvi, ViVa dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Alza yang dilancarkan hujung tahun lalu yang mana ketiga-tiga model itu kini menggunakan antara 80 hingga 90 peratus komponen tempatan. “Sejak dua tahun lalu kami membelanjakan kira-kira RM3 bilion setiap tahun untuk komponen dan alat ganti tempatan dan dengan sasaran kami untuk menjual 176,000 unit kereta tahun ini daripada 166,700 unit tahun lalu, nilai pembelian itu dijangka meningkat,” katanya kepada pemberita sempena meraikan pengeluaran 200,000 unit Perodua ViVa di kilang syarikat itu di Rawang, Selangor, semalam.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.
Aminar Rashid berkata, menerusi program pembangunan dan peningkatan vendor, Perodua sentiasa menggalakkan dan menyokong vendor tempatan yang mana sebuah pusat khusus untuk program terbabit ditubuhkan di kilang Perodua sejak tahun lalu.
Beliau berkata, Perodua telah membelanjakan kira-kira RM87 juta untuk kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lebih RM1.5 bilion untuk pembangunan model baru sejak 13 tahun lalu.
“Setakat ini, bahagian R&D kami telah membangunkan lapan model secara dalaman, bermula dengan perubahan kosmetik yang mudah dan secara beransur-ansur meningkatkan keupayaan untuk perubahan peningkatan yang utama,” katanya.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!
No comments:
Post a Comment